BAGAIMANA SATELIT BOLEH MENGUNGKAPKAN KISAH DI SEBALIK PRODUK FERRERO KEGEMARAN ANDA
Ketahui bagaimana pemantauan satelit membantu Ferrero memahami dengan lebih mendalam hutan, ladang dan komuniti yang terlibat dalam penghasilan koko, minyak sawit dan kopi, yang merupakan antara bahan utama dalam pelbagai produk Ferrero.
Di Ferrero, segalanya bermula dengan prinsip Sacco Conosciuto, yang boleh diterjemahkan secara literal sebagai “beg yang diketahui”.
Prinsip ini bermaksud kami perlu mengetahui dengan jelas dari mana setiap bahan diperoleh dan bagaimana proses penghasilannya, satu amalan yang telah kami terapkan sejak Ferrero ditubuhkan pada tahun 1946. Namun, rantaian bekalan kami kini jauh lebih kompleks berbanding dahulu, dengan jangkauan ribuan kilometer merentasi beberapa ekosistem utama di dunia.
Jadi, bagaimana kami dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di sebalik rantaian bekalan ini?
Di sinilah teknologi pemantauan satelit Starling memainkan peranan penting.
Sejak dekad yang lalu, Ferrero telah bekerjasama dengan Starling, iaitu platform pemantauan satelit yang dibangunkan oleh Airbus Defense dan Earthworm Foundation, bagi melihat dengan lebih menyeluruh kawasan penghasilan bahan-bahan utama kami.
Ladang-ladang ini merupakan sebahagian daripada habitat semula jadi yang penting dan perlu dilindungi, termasuk hutan yang kaya dengan hidupan liar, pokok-pokok yang membantu menyerap karbon daripada atmosfera, serta komuniti yang bergantung pada tanah yang subur dan produktif sebagai sumber mata pencarian.
Sepanjang dekad yang lalu, Starling telah membantu memantau beberapa rantaian bekalan pertanian yang paling kompleks di dunia. Namun, walaupun satelit mengorbit jauh di angkasa, usaha sebenar berlaku lebih dekat dengan ladang, hutan dan masyarakat yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan kami.
Melalui imej satelit dan data geospatial, Ferrero bekerjasama rapat dengan pakar teknologi, penganalisis dan rakan kerjasama tempatan untuk menggunakan maklumat yang diperoleh bagi mengambil tindakan yang lebih nyata.
Ini termasuk interaksi secara langsung dengan pembekal, mendapatkan sokongan rakan kerjasama tempatan, serta menjalankan lawatan ke kawasan tersebut untuk memahami dengan lebih mendalam keadaan setempat dan amalan pertanian di kawasan berkenaan.
Menerusi gabungan data satelit dengan kepakaran individu dan rakan kerjasama yang terlibat secara langsung di kawasan sumber, kami mendapat gambaran yang lebih jelas bagaimana landskap ini berubah dari semasa ke semasa. Maklumat ini membantu kami membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan gambaran yang lebih menyeluruh tentang asal usul bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilan produk Ferrero kegemaran anda.
Tahukah anda?
Walaupun meliputi kurang daripada 10% permukaan daratan Bumi, hutan tropika menjadi habitat kepada lebih separuh daripada spesies darat di seluruh dunia.
Hutan menyerap sekitar 7.6 bilion tan metrik karbon dioksida setiap tahun, sekali gus membantu memperlahankan kadar perubahan iklim.
Satu hektar hutan hujan boleh mempunyai lebih daripada 300 spesies pokok.
Memahami Starling
Starling merupakan platform pemantauan satelit yang dibangunkan oleh Airbus dan Earthworm Foundation. Platform ini menggunakan imej satelit dan data geospatial untuk memberikan gambaran yang lebih jelas tentang rantaian bekalan pertanian serta membantu mengenal pasti risiko alam sekitar seperti penebangan hutan.
Ferrero menggunakan Starling untuk memantau kawasan sumber bahan-bahan utama kami secara lebih menyeluruh. Data yang diperoleh membantu kami menilai risiko, meningkatkan kebolehkesanan, serta mendorong kerjasama dengan pembekal dan pihak tempatan di kawasan berkenaan.
Bahan-bahan manakah yang dipantau? Buat masa ini, Starling membantu Ferrero memantau sumber koko, minyak sawit dan kopi.
“Dengan teknologi ini, kami dapat menjalankan pemantauan secara meluas di ladang-ladang yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan kami. Kini, Starling membolehkan kami mengenal pasti lokasi dan memantau sekitar 230,000 ladang yang merangkumi tiga komoditi utama, iaitu koko, minyak sawit dan kopi, selaras dengan ketetapan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).”
Nicola Somenzi, Ketua Pemerolehan Bertanggungjawab (Head of Responsible Sourcing) di Ferrero.