FERRERO GROUP UMUMKAN PENYATA KEWANGAN TAHUNAN BAGI TAHUN KEWANGAN 2023/2024
- Ferrero Group terus mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan hasil sebanyak 8.9%, mencecah EUR18.4 bilion.
- Inovasi berterusan melalui pelancaran produk dan kategori baharu termasuk Aiskrim Nutella – diperkenalkan sempena ulang tahun ke-60 jenama ikonik itu.
- Pelaburan modal keseluruhan meningkat sebanyak 18% kepada EUR958 juta, termasuk pelaburan di Amerika Syarikat, Itali, Jerman dan Chile.
Ferrero Group, melalui syarikat induknya Ferrero International S.A., telah meluluskan Penyata Kewangan Disatukan bagi tahun kewangan 2023/2024 yang berakhir pada 31 Ogos 2024. Kumpulan ini menutup tahun kewangan dengan jumlah hasil terkumpul sebanyak EUR18.4 bilion – meningkat 8.9% berbanding tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini seiring dengan strategi pengembangan yang diterajui oleh Pengerusi Eksekutif Giovanni Ferrero dan dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lapo Civiletti.
Tahun kewangan 2023/2024 sekali lagi menyaksikan keadaan ekonomi global yang mencabar, termasuk harga komoditi yang tidak menentu dan tekanan inflasi yang berterusan. Namun begitu, Ferrero Group berjaya mengekalkan prestasi kukuh hasil ketahanan warga kerja, kekuatan jenama serta model perniagaan yang mantap. Ferrero terus mengekalkan kehadiran globalnya dengan 37 buah kilang pengeluaran, dan mengakhiri tahun kewangan dengan jumlah tenaga kerja seramai 47,517 orang di seluruh dunia, setakat 31 Ogos 2024.
Daniel Martinez Carretero, Ketua Pegawai Kewangan Ferrero Group berkata:
“Kami berbesar hati melaporkan satu lagi tahun pertumbuhan kukuh buat Kumpulan, walaupun industri terus berdepan cabaran. Meskipun keadaan ekonomi kekal rumit, jenama dan produk kami terus menunjukkan prestasi yang menggalakkan. Ini membuktikan komitmen kami dalam memacu inovasi berterusan bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin berubah. Bagi menyokong usaha ini serta meningkatkan kapasiti pengeluaran, kami telah meningkatkan pelaburan modal sebanyak 18% berbanding tahun sebelumnya.”
Inovasi produk yang berterusan oleh Ferrero Group telah mendorong pengembangan merentas pelbagai kategori, termasuk aiskrim dan biskut. Antara pencapaian utama dalam tahun kewangan 2023/2024 termasuk:
- Pelancaran Nutella Ice Cream, aiskrim berbungkus pertama daripada jenama tersebut, yang mengukuhkan lagi pertumbuhan dalam kategori aiskrim;
- Pengembangan dalam kategori biskut melalui pelancaran Kinderini di pasaran utama;
- Pelancaran jenama Eat Natural dan FULFIL ke lebih banyak pasaran Eropah, mencerminkan bagaimana Ferrero Group terus memenuhi trend pengguna yang berubah serta pertumbuhan dalam kategori "better-for-you".
Bagi menyokong perluasan portfolio dan pasaran secara geografi, Ferrero Group giat meningkatkan kapasiti pengeluarannya. Antara inisiatif utama termasuk:
- Pembukaan kilang pemprosesan coklat pertama Ferrero Group di Amerika Syarikat – kemudahan seluas 70,000 kaki persegi di Bloomington, Illinois ini menghasilkan coklat untuk jenama terkemuka Ferrero di Amerika Utara, termasuk Kinder, Ferrero Rocher, Butterfinger dan CRUNCH. Fasiliti ini kini turut menempatkan barisan pengeluaran baharu bagi Kinder Bueno;
- Peningkatan kemudahan di Stadtallendorf, Jerman melalui kerja-kerja pemodenan;
- Pengembangan kapasiti perolehan dan pemprosesan hazelnut di Chile.
Strategi pertumbuhan jangka panjang Ferrero Group terus dipacu oleh komitmen terhadap kelestarian serta usaha untuk memberi impak positif di sepanjang rantaian nilai.
Baca laporan lengkap usaha kelestarian Ferrero di sini.