KEMAJUAN YANG MEMBERANGSANGKAN: KUMPULAN FERRERO BERADA DI LANDASAN TEPAT CAPAI SASARAN KELANGSUNGAN
Kumpulan Ferrero hari ini mengumumkan bahawa mereka sedang bergerak seiring dengan sasaran kelestarian yang telah ditetapkan. Perkembangan ini dikongsikan dalam Laporan Kelestarian Tahunan ke-14, yang memperincikan usaha sepanjang tahun kewangan 2021/22 berdasarkan empat fokus utama: perlindungan alam sekitar, pemerolehan bahan secara mampan, menggalakkan pengambilan secara berhemah, dan memerkasakan komuniti.
“Tahun kewangan lalu membawa banyak cabaran – konflik tercetus, rantaian bekalan terganggu, kos tenaga meningkat dan inflasi melonjak bersama harga bahan mentah,” kata Giovanni Ferrero, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ferrero. “Namun dalam keadaan ini, Ferrero bukan sahaja terus berkembang, malah berjaya mencapai banyak sasaran kelestarian – malah ada yang melebihi jangkaan,” tambah beliau.
Melalui inisiatif Ferrero Farming Values (FFV) yang merangkumi pelbagai bahan asas, Ferrero komited untuk memperkukuh pemerolehan sumber yang mampan dan berkongsi ilmu sepanjang rantaian nilai. Dalam tahun 2021/22, seramai 32% pekebun koko telah menerima bimbingan individu dalam perancangan ladang dan pengurusan, manakala 155,000 pekebun koko turut serta dalam sesi latihan berkumpulan.
Laporan ini juga menyatakan bahawa lebih 96% daripada bekalan koko Ferrero kini boleh dikesan terus hingga ke peringkat ladang. Tambahan pula, 82% daripada jumlah koko diperoleh daripada kumpulan pekebun khusus yang mendapat sokongan langsung daripada Ferrero. Bagi hasil hazelnut pula, tahap ketelusannya mencapai 79%, meskipun terdapat cabaran logistik dalam rantaian pembekalan global.
Antara sorotan utama lain dalam laporan kemajuan kelestarian Ferrero:
- 92% tenaga elektrik global Ferrero kini datang daripada sumber boleh diperbaharui, meningkat daripada 84% pada tahun sebelumnya.
- 100% minyak sawit yang digunakan adalah disahkan RSPO, dengan 99.95% daripadanya boleh dijejak ke 146 kilang dan 722 ladang. Ferrero antara syarikat global pertama yang sepenuhnya menggunakan minyak sawit mampan secara berasingan sejak 2015.
- Pelaksanaan pelan empat tahun Cocoa and Forest Initiative (CFI) disempurnakan, dengan hampir semua sasaran dicapai atau dilebihi. Lebih 170,000 pekebun kini berada dalam Program Koko Ferrero, dan 161,000 daripadanya telah dipetakan secara geo, melepasi sasaran asal 153,000.
- Laporan Hak Asasi Manusia pertama Ferrero diterbitkan pada akhir 2021, merangkumi 10 isu hak asasi paling penting dalam keseluruhan rantaian nilai – tanpa mengira jenis produk atau lokasi – serta langkah-langkah yang diambil Ferrero untuk menanganinya.
“Kami amat bangga kerana berjaya membuat kemajuan ketara dalam setiap teras utama strategi kelestarian kami,” kata Lapo Civiletti, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ferrero. “Meskipun berdepan situasi ekonomi dan geopolitik yang mencabar, kami terus melabur untuk mengekalkan kualiti, kesegaran dan keselamatan produk, di samping mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.”
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha kelestarian Ferrero, sila rujuk Laporan Kelestarian Ferrero di sini.